Lil Panda
Dimanakah mentariku? Part 3
Thursday, 27 November 2014 • 08:10 • 0 comments

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

بسم الله الرحمن الرحيم

***
            Hari Jumaat. Selesai solat Jumaat, semua pelajar asrama dibenarkan pulang ke rumah. Aku mengemas barang-barang yang perlu dibawa balik. Tiba-tiba terjatuh satu kertas.
“Manusia suka memarahi Tuhan. Mengapa jadikan hidupnya begitu dan begini, tetapi sering terlupa bahawa padanya ada pilihan, untuk berusaha menjadi lebih baik, atau statik pada ketentuan Tuhan. Cuba cari makna tersirat, jika sudah faham. Hayatilah. Kita hidup berpaksikan Tuhan. Moga Dia redha. –Ammar Taqiyuddin- “
            Aku melipat surat itu dan menyelitnya ke dalam buku nota. Aku menolak tubuh untuk duduk. Bersila sambil menggaru-garu kepala. Apa maksud surat itu? Aku bertanya diri sendiri. Lalu aku mengalihkan perhatian untuk mengemas barang-barangku semula. Pilihan? Lebih baik? Statik? Semua itu bermain di mindaku.
***
            Hmm. Jauh aku berfikir. Hingga kesejukan kutub utara pun mampu aku rasai. Namun aku tidak pasti. Tidak pasti apakah aku mampu mencapai apa yang aku fikirkan. Fikiranku masih teringat setiap tazkirah yang diberi. Aku cuba memahami dan mengamati. Sejak akhir-akhir ini aku banyak berdiam diri. Masalah yang ku hadapi cuba makin bertambah. Aku cuba buat endah. Namun, ia hadir tanpa kira aku senang atau susah.
            Di rumah. Aku fikir masalah akan kurang. Rupa-rupanya semakin bertambah. Hidup aku, tidak senang. Penuh duka yang terpacak-pacak. Walau sehebat mana aku mengelak, aku asyik terpijak. Tidaklah aku asyik memijaknya. Malah sering sahaja terluka. Kali ini, masalah aku dan adik aku. Memang abang dan adik bergaduh itu satu norma kehidupan. Kononnya, si abanglah yang kena mengalah, kena bertanggungjawab dan harus jadi contoh. Aku adalah insan yang sering tersepit jika berlaku masalah dalam keluarga. Ibu bapaku sering memenangkan adikku. Tidak kira dia salah atau benar. Aku yang sering jadi mangsa.
“Kamu itu abang. Kamu kena lebih banyak mengalah.”
“Abang boleh mengalah. Tapi mak dan abah tidak boleh selalu menangkan adik. Sikit-sikit abang yang kena. Adik tiada salahkah?”
Pang! Satu tamparan tepat mengenai pipiku. Sakit. Aku hanya mampu menahan sakit fizikal dan sakit bengkaknya hati. Aku cuba menahan tangisan. Tetapi aku rasakan hujan lebat dalam hatiku. Sungguh perit derita!
Di rumah sahaja, berapa kali aku didenda. Sedangkan adikku hanya gelak ketawa. Dia boleh bermain disini sana. Aku, buat kerja. Kalau ada apa-apa, aku yang terpaksa bertanggungjawab. Bercakap sedikit dikira menjawab. Ah, aku sengsara. Di rumah dan asrama. Sama sahaja. Tiada beza. Aku kira hidupku di rumah umpama aku ini orang asing sahaja. Hidupku, masalah dan masalah. Aku teringat kata-kata abang Ammar.
“Kadang Allah bagi kita matahari dan kita rasa bahagia. Kemudian, Allah hadirkan hujan dan ribut, kita rasa menderita. Kita tercari-cari di mana mentari kita. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita, pelangi yang indah”
            Aku resah. Dimanakah pelangi? Aku tidak pernah merasai mentari. Yang aku rasa hanya derita. Hujan dan ribut membadai aku. Inikan keadilan? Tuhan, dimana keadilan untukku? Aku bertanya. Namun, tiada jawapan. Aku kecewa.
            Hari demi hari aku rasakan tiada gembira. Sehinggalah aku tamat persekolahan. Aku fikirkan bahagia selepas tinggalkan keluarga dan alam persekolahan. Rupanya, makin sengsara. Aku memohon pengajian di Universiti Sains Malaysia memandangkan keputusan SPM ku agak cemerlang. 7A, memadai untuk aku menyambung pelajaran di dalam negara. Aku kini, hidup di rumah sewa. Ahli rumah sewaku gila-gila. Suka bersuka ria tidak kira masa. Seolah-olah tidak mengaji agama. Aku bertekad ingin berubah. Tidak mahu berpatah balik ke zaman jahiliyyah. Segala momen-momen duka cuba ku padam. Aku bertekad menjadi ummah yang mencari mardhotillah. Hidup di jalan Allah. Dengan amanah-amanah. Takkan ku biar hidupku musnah. Itu tekadku.
            Malangnya, semua orang seolah-olah tidak memberi peluang apatah lagi semangat. Aku mula merasai kehilangan orang-orang yang aku dulunya benci tapi kini ku sayang iaitu ahli-ahli usrahku. Terutamanya abang Ammar. Banyak membantu. Setiap kali aku melakukan kebaikan pastinya mereka anggap aku berpura-pura. Mereka kata aku masih muda. Harus rasai apa itu dunia. Bagiku dunia ini penjara, kerana akhiratlah selamanya. Pernah aku dicemuh kerana mengajak mereka solat. Aku sering dimarahi kerana berqiamullail. Katanya mengganggu mereka yang sedang tidur. Aku sengaja sebenarnya membiarkan lampu terbuka. Untuk mengejutkan mereka. Mana tahu ada yang terjaga dan mahu solat juga. Tidak sangka mereka menganggap aku menunjuk-nunjuk dengan amalku itu. Yang paling menyakitkan hati, ketika aku membaca al-Quran di waktu pagi. Mereka memarahiku dan tidak mahu berbicara denganku kerana mengganggu saat tidur mereka katanya. Pernah juga aku dihina semata-mata kerana aku menyuruh mereka mengemas rumah.
“Kalau kau nak ibadah, kau buat seorang diri cukuplah. Nanti kalau kami dapat hidayah, kami duduk atas sejadah lama-lama tau.”
“Kata belajar agama. Tapi, tak pandai jaga hati orang.”
“Kau ini suka ganggu hidup orang kan? Jaga perihal masing-masing cukuplah.”
            Satu demi satu kata-kata cacian yang mereka lemparkan. Gegendang telingaku tidak sanggup menelan kata-kata seperti itu. Tidak cukup dengan ahli rumah sewaku malah, rakan-rakan mereka juga ada yang sudah mencemuhku dan membenciku. Aku kesal.
Apa salah aku? Aku mengajak mereka untuk kembali pada-Nya. Bukan buat dosa. Ya Allah, bilakah agaknya akan reda semua hujan ribut di jiwa? Aku takkan sesekali mengalirkan air mata di depan mereka. Namun, hatiku ini siapa yang dapat duga. Hampir setiap masa kecewa. Perit memang perit namun aku harus gagah menelannya. Akhirnya, rumah sewa itu juga jadi seperti neraka gayanya.




I might never be a good writer but apparently I wrote from my heart



Diary About Link Stuff




Template By: Umi Humaira
Big helped: Wana
Le Boss: Hayati Rosdi